Wednesday, November 24, 2010

teman hidup ketika belajar......................

Dengan nama Allah yang menciptakan manusia itu secara berpasang-pasangan.

Selawat dan doa dipanjatkan buat Muhammad bin Abdullah insan yang kita sedang pelajari dan amalkan hadis-hadisnya.

Bergelar sebagai pelajar tahun akhir ini, ada 1 soalan yang sering kali diterjah pada saya.

Bila nak kahwin?

Kalau ada yang lamar itu , kahwin je lah. Tak payah tunggu sampai habis belajar.

Bercakap untuk berkahwin memang mudah tapi adakah diri sudah benar-benar bersedia untuk menjalankan tanggungjawab.

Untuk syabab , bersediakah untuk menjaga amanah yang Allah berikan? Untuk akhwat , bersediakah untuk menyenangkan hati suami?

Memandangkan ramai sangat yang bertanya mengenai isu yang sentiasa panas zaman berzaman ini, dengan rendah hatinya ingin saya kongsikan sesuatu.

Isu perkahwinan sentiasa mendapat tempat dalam list cerita-cerita untuk dibualkan oleh para pelajar. Tidak terkecuali lelaki mahupun wanita.

Teringatkan saya reaksi teman-teman yang pelbagai apabila isu ini dibincangkan. Memang fitrah insan normal begitu saya kira, semoga semua tidak leka dan sentiasa berhati-hati agar tidak termasuk ke kawasan larangan yang tidak sepatutnya.

Pembinaan masjid yang utuh pastinya menjadi idaman semua. Sekadar sedikit muhasabah untuk kita semua sebelum berangan-angan lebih jauh ke hadapan. Salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk melahirkan zuriat-zuriat yang soleh dan musleh juga. InsyaAllah! Memperbanyak umat nabi yang benar-benar bertaqwa dan melahirkan lebih ramai individu muslim yang menerima tarbiyah islami sejak kecil lagi.

Jika kalian menyingkap kisah isteri Imran yang disebut di dalam Al-Quran, itulah contoh isteri dan ibu yang terbaik dari Al-Quran. Semangat isteri Imran yang disebutkan didalam Al-Quran itu wajar dijadikan idola, panduan dan ikutan semua wanita akhir zaman.

Berdasarkan ayat 35-36 surah al-imran.

"(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata "Ya tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu, apa (janin) yang dalam kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdi kepadamu, maka terimalah nazar dariku. Sungguh engkaulah maha mendengar, maha mengetahui"

Maka ketika melahirkannya, dia berkata, "Ya tuhanku, aku telah melahirkan anak perempuan" Padahal Allah lebih tau apa yang dia lahirkan, dan laki-laki tidak sama dengan perempuan. "Dan aku memberinya nama Maryam, dan aku mohon perlindunganMu untuknya dan anak cucunya dari syaitan yang terkutuk"

Lihatlah bagaimana hebatnya isteri Imran, seorang wanita yang sangat suci sengaja diceritakan di dalam al-Quran telah bernazar kepada Allah untuk mengorbankan atau menginfaqkan anaknya yang masih dalam kandungannya di jalan Allah. Dia dengan tulus sucinya benar-benar menyerahkan masa hadapan anaknya supaya berjihad mengabdikan diri padaNya.

Secara fitrahnya, pastilah ibu yang telah bersusah payah mengandungkan anaknya ke hulu hilir selama 9 bulan mengharapkan anaknya kelak berbakti kepada dirinya sekurang-kurangnya.

Namun ibu Maryam ikhlas, beliau berniat melahirkan anak untuk dikorbankan sebagai seorang syahid di jalanNya. Benar-benar hebat dan suci, inilah semangat yang kita inginkan.

Dari isteri Imran lahirlah Maryam, antara wanita paling hebat dalam sejarah. Darinya pula lahirlah nabi Isa a.s, utusan Allah yang suci, seorang hamba yang mengabdikan diri kepada Allah semata2.

Kita mengharapkan anak yang soleh dan musleh hasil perkahwinan yang dibina. Persoalannya adakah kita sudah bersedia menjadi ibu seperti isteri Imran dan Maryam?

Wahai teman-teman [untuk diri sendiri khasnya] sekiranya kau mengimpikan anak seperti imam syafie... ibunya perlu hebat lagi

Dirimu perlulah dilengkapi dengan sekurangkurangnya 30 juzuk Al-Quran didada. Apatah lagi ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu tajwid untuk diajarkan kepada anak-anak nanti. Ibadah malam yang terjaga sebagai bekalan kekuatan dan hati yang penuh kasih sayang serta sifat sanggup berkorban.

Macamana ingin berkahwin kalau membaca Al-Quran masih merangkak-rangkak lagi?

Macamana ingin berkahwin kalau tak sanggup berkorban lagi?

Macamana ingin berkahwin kalau masih kurang menjaga ibadah lagi?

Bimbang tak mampu melahirkan anak-anak umat nabi Muhammad yang terbaik. Bimbang tak mampu melahirkan anak-anak yang berjihad mengabdikan diri di jalanNya.

"Ya Allah, kurniakanlah kami anak dan keturunan yang soleh sebagai penyejuk mata"

Pra Perkahwinan

Buat teman-teman, anggaplah kehidupan harian kita bersama teman-teman serumah kini sebagai pra-perkahwinan, latihan sebelum benar-benar memikul tanggungjawab yang asli.

Latih diri untuk sentiasa bermanis muka dengan teman-teman walau sepenat mana kita.

Latih diri untuk menjaga rahsia dan cerita teman-teman dan cuba menyelesaikan masalah sesama sendiri.

Latih diri untuk sanggup berkorban, banyak bersabar dan tidak banyak berkira sesama teman-teman.

Dan latihlah diri dengan macam-macam lagi.

Untuk syabab, sekiranya kalian telah benar-benar mampu dan bersedia, bernikahlah. Pilihlah jodoh yang terbaik yang diberikan Allah untuk kalian. Terima seadanya. Utamakan diri kalian dalam soal memilih jodoh yang terbaik.

Untuk akhwat sekalian, dan sekiranya telah sampai masanya , kalian dilamar, dan telah dibukakan laluannya untuk kalian bernikah, silalah bernikah. Allah sentiasa bersamamu.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua. Dan semoga teman-teman akan memperoleh teman untuk ke syurga yang terbaik untuk kalian.

"Dari Allah, Kepada Allah"

Saturday, November 20, 2010

khitbah.............

Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas (zina) serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini, saya menyarankan satu program atau projek besar iaitu "Taysir az Ziwaj" dilaksanakan, khasnya oleh pihak berwajib.

Taysir Az Ziwaj ialah "Permudahkan Proses Perkahwinan" terutama kepada anak-anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan.

Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.

Gejala seks bebas (zina) dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul, tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain. Sedang Islam menggalakkan perkahwinan (aqad nikah) agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal. Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia.

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nuur : Ayat 32)

Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas (zina). Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan) seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :

* Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin

* Memberi insentif sebagai galakan berkahwin

* Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan

* Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma

* Menganjurkan perkahwinan beramai-ramai yang menjimatkan

* Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan

* Merendahkan hantaran perkahwinan

Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung. Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

* Suami

* Isteri

* Wali

* Saksi

* Aqad (Ijab Qabul)

Cuma bezanya ialah pasangan pengantin (suami isteri) tidak tinggal serumah dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :

* Masih menuntut di kolej atau universiti

* Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah

* Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga

Justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan (atas persetujuan bersama kedua-dua pihak) dan barangkali tinggal bersama keluarga masing-masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan di atas telah selesai dan mereka benar-benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

Kelebihan Nikah Gantung

Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, dating, study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.

Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah.

Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama. Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara.

Penerimaan Masyarakat

Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab. Menurut amalan tersebut, sewaktu majlis pertunangan, ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah (halflun nikah) tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan (haflul Qiran). Terkadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau tahun lamanya.

Dalam masyarakat Melayu, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara.

Malah menurut Abdul Jalil Borhan, perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (jima'/bersetubuh). Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material) . Berkait perkara ini, kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya aqad, maka selepas sahaja aqad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.

b] Pandangan jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta' (mengambil keseronokan) , jima'/bersetubuh , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.

Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa ; bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku. Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri, buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

Tegasnya saya sebutkan disini, terutama kepada pihak berkuasa agama, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak-anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam. Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak, tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak-anak gadis dan teruna kita berpeleseran, bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan. Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar, murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.

wanita menurut pelbagai agama dan bangsa ..

1. YUNANI :

Kedudukan wanita pada masa ini hanyalah sebagai budak suruhan dan pelayan.Wanita bebas dalam arus syahwat dan nafsu hewani dengan menjadi pelacur.Akhirnya mereka mendapat tempat yang tinggi dan mulia di mana dibuat dongeng menjadi 'Dewa Cinta' . Mereka memandang rendah pada hubungan suami isteri hingga mereka bebas memilih lelaki yang ingin digaulinya secara terang-terangan tanpa perkahwinan.

2. ROMAWI :

Lelaki mempunyai hak sepenuhnya terhadap isterinya hingga tahap berhak membunuh isterinya sendiri.Akhirnya para wanita pada zaman ini berani menyeret lelaki ke dalam arus perbuatan keji dan dosa.Mereka memandang baik tentang novel-novel porno.Urusan cerai menjadi sesuatu yang mudah hingga wanita zaman ini pernah menikah dengan lelaki sebanyak bilangan umurnya tanpa rasa beban dan malu.

3. PARSI :

Undang-undang pada masa ini menzalimi hak wanita dan menimpakan hukuman yang berat walaupun kesalahannya ringan.Hukumannya berbentuk sembelihan yang sangat kejam. Perempuan yang haid akan diusir dari tempatnya jauh dari kota dan tidak dibenarkan berhubungan dengan mereka.Lelaki pula bebas dengan hawa nafsunya dan dianggap raja semata-mata kerana dia seorang lelaki.

4. CINA :

Masayarakat Cina dahulunya hidup dalam kerosakan dan kebinatangan. Mereka berzina tanpa rasa malu, sehingga banyak anak-anak yang dilahirkan tanpa diketahui siapa bapanya.Kaum wanita hanya menunggu perintah tanpa menolak . Anak perempuan tidak dapat mewarisi harta bapanya walaupun sedikit.Wanita dianggap racun yang merosak kebahagian dan harta keluarga.

5. INDIA :

Wanita dianggap sebagai budak suruhan bagi ayah,suami dan anak-anaknya.Wanita dianggap sumber kesalahan dan penyebab kemunduran akhlak dan mental.Wanita diharamkan dalam hak-hak pemerintahan dan warisan. Wanitanya tidak diberi hak hidup setelah suaminya mati sehingga dia harus mati dihari kematian suaminya dan dibakar hidup-hidup dalam satu tempat pembakaran.

6.YAHUDI :

Wanita pada masa ini makhluk yang rendah dan hina ibarat barang tak berharga yang dapat dibeli di pasar-pasar.Mereka menuduh wanitalah salah satu pintu jahannam dan membawa kepada dosa. Mereka beranggapan wanita laknat kerana telah menggoda Adam.Wanita dalam haid dianggap najis dan dilarang memasuki rumah. Wanita disetubuhi sebagai satu upacara ibadah yang suci dan zina dianggap sebagai bentuk taqarrub diri kepada tuhan mereka.

7. NASRANI :

Menganggap wanita sebagai biang kemaksiatan,akar kejahatan dan dosa, mala petaka bagi keluarga dan rumahtangga serta membawa musibah.Bersetubuh dengan wanita adalah najis walaupun telah bernikah sehingga memandang bahawa hidup sebagai biarawati ( tidak kahwin) adalah tanda luhirnya akhlak seseorang. Cerai tidak dibenarkan dalam agama mereka sekalipun sudah sampai tahap saling membenci dan berjauhan antara suami isteri.Maka terjadilah peluang saling mengkhianati antara suami isteri tersebut.

8. ARAB JAHILIYYAH :

Lelaki boleh menyerahkan isterinya kepada orang lain.Sekumpulan lelaki boleh menggauli seorang perempuan.Semua ini bertujuan semata-mata untuk mendapatkan anak berketurunan bangsawan. Marah dan kecewa jika mendapat anak perempuan seakan-akan ditimpa musibah maka anak tersebut akan dikuburkan hidup-hidup. Ini bertujuan untuk menjaga kehormatan dan takut mendapat aib kerana mereka adalah ahli tempur dan perang.Mereka akan mendapai aib dan hina jika menyerahkan anak-anak perempuan mereka untuk menebus tawanan perang

9. ISLAM :

Siapa tidak pernah mendengar kisah Saidatina Khadijah, sayyidah wanita sedunia pada zamannya.Saidatina Aisyah isteri dan penghulu anak-anak Adam, guru bagi kaum lelaki. Hafshah , wanita penjaga Al-Quran.Ummu Salamah, mujahidah pertama memasuki Madinah.Zainab Binti Jahsy,Ummahatul Mukminin termulia dalam hal wali.Zainab Al-Kubra penebus suaminya. Fatimah Az-Zahra, Ummul Mukminin dan sayyidah wanita seluruh alam pada zamannya.

KESIMPULAN :

Istimewanya kau wanita dalam agamamu .Kita tidak akan kenal nama-nama wanita terkenal di atas dalam mana-mana lipatan sejarah sekalipun kecuali dalam sirah Islam.wanita yang mendapat gelaran dan darjat di sisi agama dan umat Islam. Berikan agama manapun, takkan kita ketemu wanita mulia kecuali dalam Islam

Thursday, November 4, 2010

kerana aku wanita........

kerana aku wanita
pandangan Adam mampu tembus ke dasar hatiku

kerana aku wanita
ingin disayangi itu fitrah diriku

kerana aku wanita
mudah terpikat dengan keindahan akhlak seorang lelaki

kerana aku wanita
emosiku selalu mengatasi logik akalku

kerana aku wanita
air mata teman setiaku

kerana aku wanita
sensitivitiku terhadap sesuatu amat tinggi

DAN..

kerana aku wanita
aku damba pertolongan darimu Adam

peliharalah bicaramu denganku
jangan bermain kata denganku
takut rosak hatiku

kerana aku wanita
akhlakmu ukuran dimataku

peliharalah akhlakmu dan imanmu
jangan kau burukkan darjatmu pada mataku
takut rosak thiqohmu

kerana aku wanita
maka peliharalah susunan kata-katamu

kerana aku mudah terasa
namun aku bukan lemah
sekadar ingin kau tahu hati ini mudah tercalar

kerana aku wanita
peliharalah dirimu dari mencemuhku

saat titisan jernih mengalir dari mataku
kerana itu cara untukku
meluahkan perasaanku
supaya hatiku tenang kembali

kerana aku wanita
aku memang sangat peka

maka fahamilah kecerewetanku ada sebabnya

WAHAI ADAM,

kalau kau sangka berpakaian selekeh itu 'cool',
hakikatnya kau begitu jelek pada pandangan kami.

andai kau rasa 'usha' itu tanda kejantanan,
darjat mu telah jatuh pada pandangan kami

jika kau fikir hidup membelakangkan agama itu kemodenan,
maka tiada lagi hormat untukmu dari kami.